Jianzhu ialah sejenis buluh. Oleh sebab daunnya berbentuk panjang, seperti pedang, buluh ini dinamakan Jianzhu (buluh pedang). Buluh ini merupakan makanan utama panda. Lebih 20 tahun yang lalu, Jianzhu tiba-tiba berbunga kemudian mati secara besar-besaran, maka panda telah menghadapi masalah kekurangan makanan. Namun, melalui usaha pemuliharaan yang baik, Jianzhu tumbuh semula dengan subur di Kawasan Perlindungan Alam Wolong, dan panda yang merupakan spesies yang hampir pupus dapat hidup dengan selesa di kawasan ini. Kawasan Perlindungan Alam Wolong yang terletak di bahagian barat laut Provinsi Sichuan ini, merupakan salah sebuah habitat utama panda. Oleh sebab itulah, Provinsi Sichuan digelar habitat asal panda.
Panda liar hanya ditemui di hutan tebal di provinsi Sichuan, Shaanxi dan Gansu. Namun tempat yang paling baik bagi pelancong untuk menyaksikan haiwan yang comel ini ialah Taman Panda yang terletak di Kawasan Perlindungan Alam Wolong.
Pegawai yang berkhidmat di kawasan perlindungan tersebut, Encik Zhang Liming berkata:
"Kami berharap dapat membantu panda agar terus hidup dengan sihat, di samping memberikan peluang kepada pelancong untuk mendekati haiwan yang hampir pupus ini. Selain itu, kami juga memaklumkan betapa pentingnya usaha memelihara ekologi kepada para pelancong serta memperkenalkan sejarah dan ciri-ciri panda, spesies kuno yang digelar 'Fosil Hidup' kepada para pelancong."
Panda ialah sejenis haiwan yang amat disukai oleh orang ramai. Kini, lebih 100 ekor panda dipelihara di Taman Panda ini.
Di taman ini, kita dapat melihat banyak panda yang bermain di luar bilik, ada yang bermain papan gelongsor, ada yang memanjat pokok, ada juga yang berehat dengan bersandar pada batu. Pekerja di taman ini memberitahu kami bahawa panda ialah sejenis beruang, dan pandai memanjat pokok. Jika terjatuh dari pokok, panda tidak akan cedera, kerana badannya amat gemuk.
Menyediakan makanan panda merupakan suatu perkara yang amat menyusahkan. Ini kerana pada masa dahulu, panda memang makan daging, tetapi haiwan ini beransur-ansur menjadi "vegetarian", dan buluh makanan utamanya. Cuaca yang lembap di Wolong amat sesuai bagi pertumbuhan buluh, jadi banyak panda yang hidup di sini. Walaupun panda tidak makan daging lagi, namun daya cernanya tidak banyak berubah. Sekiranya panda melakukan pergerakan yang terlalu kuat, daya fizikalnya akan terjejas. Itulah sebabnya panda selalu bergerak perlahan-lahan dan kelihatan sangat malas.
Puan Rebecca Haase dari Amerika Syarikat telah melihat panda secara dekat buat pertama kalinya. Beliau telah mengambil banyak gambar panda yang sedang makan dan bermain. Beliau berkata:
"Saya berasa amat seronok dapat melihat panda dari jarak yang begitu dekat. Panda ini semuanya kelihatan sihat dan comel. Saya berharap Wolong mempunyai lebih banyak panda." Di Taman Panda tersebut, terdapat sebuah bilik yang dilengkapi kemudahan termoden untuk memelihara anak panda. Melalui tingkap bilik itu, para pelancong boleh melihat anak panda yang baru dilahirkan. Badan anak panda itu hanya sebesar tapak tangan manusia, matanya masih belum terbuka, dan badannya belum berbulu.
Di luar bilik itu, Encik Zhang Shicang, pelancong dari Taiwan China telah menyaksikan seluruh proses menyusu anak panda. Beliau berkata:
"Saya mendapat banyak maklumat tentang panda dalam lawatan kali ini. Pemandu pelancong banyak bercerita kepada kami tentang sejarah dan keadaan hidup haiwan yang bernilai ini. Sekarang saya sudah tahu bahawa panda kurang membiak, dan ibu panda juga tidak pandai menjaga anaknya."
Kami dimaklumi bahawa kadar kematian anak panda amat tinggi disebabkan penyakit ataupun terbunuh oleh ibu panda dengan tidak sengaja. Walaupun panda boleh melahirkan lebih daripada seekor anak pada satu-satu masa, namun ibu panda hanya mampu menjaga seekor anak sahaja. Maka, pekerja di Taman Panda ini akan menjaga anak-anak panda yang tidak dijaga oleh ibunya atau yang diserang penyakit.
Sekarang, semakin ramai orang yang suka akan panda, dan sebahagian daripada mereka bersedia menjadi sukarelawan di Wolong. Kodama Midori dari Jepun merupakan salah seorang daripada sukarelawan ini. Beliau memberitahu kami bahawa beliau dan tiga orang rakannya akan bersama-sama menjadi sukarelawan di taman panda ini selama seminggu. Beliau berkata: "Saya memberikan makanan kepada panda-panda di sini setiap pagi. Pada waktu tengah hari dan petang, saya membersihkan bilik panda. Biasanya pelancong tidak berpeluang untuk mendekati panda seperti saya. Jadi aktiviti ini membuatkan saya berasa sangat teruja dan bangga."
Melawat Wolong pada musim yang berbeza, akan memberikan pengalaman dan pemandangan yang berbeza kepada para pelancong. Pakar penyelidik panda, Encik Li Desheng memberitahu kami bahawa pada musim panas, cuaca di Wolong agak nyaman dan tidak panas. Maka, panda suka bermain dan agak aktif pada masa itu. Pada musim gugur, pelancong mungkin berpeluang untuk menyaksikan proses kelahiran anak panda. Manakala musim bunga pula, merupakan musim mengawan bagi panda.
Selain panda ternakan, terdapat juga lebih 100 ekor panda liar yang hidup di hutan tebal di Kawasan Perlindungan Alam Wolong. Angka tersebut mewakili kira-kira 10% daripada panda liar di dunia.
| | ||||













































